Monday, 21 May 2018


Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Tingkatan 5A5 
SMK Vivekananda Kuala Lumpur

SAJAK KUNTUM RAHSIA DARI TAMAN TAKDIR

Tarikh:
10 April 2018 (Selasa)

Kelas:
Tingkatan 5A5
Matapelajaran:
Bentuk dalam sajak Kuntum Rahsia Dari Taman Takdir oleh W.B Rendra (Antologi Teks Kesusasteraan Melayu Moden Tingkatan 4 dan 5 Kubentang Sehelai Peta).

Hasil Pembelajaran:
Hasil Pembelajaran Utama yang saya gunakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran pada hari ini ialah menganalisis bentuk puisi yang dikaji iaitu sajak Kuntum Rahsia dari Taman Takdir.
Hasil pembelajaran khusus pula saya fokuskan kepada membandingkan bentuk berbagai jenis puisi yang dikaji dan saya menggunakan dua jenis bentuk puisi iaitu sajak dan pantun .
Aras yang saya gunakan ialah Aras 1 iaitu menyatakan bilangan rangkap dan baris dalam puisi yang dikaji dan Aras 2 iaitu menentukan bentuk puisi tersebut sama ada dalam bentuk terikat atau bebas.
ABM/bahan sumber yang digunakan:
Alat Bantu Mengajar yang saya gunakan ialah buku teks, kad manila, balang “Cari Dan Tangkap”, lembaran kerja, peta I-Think dan alat tulis. Manakala Bahan Bantu Mengajar atau bahan sumber yang saya gunakan ialah buku teks, Balang “Cari dan Tangkap”, marker pen dan papan tulis.

Alat Bantu Mengajar yang saya gunakan seperti Balang “Cari dan Tangkap” disediakan untuk Langkah 1. Pada bahagian set induksi, saya hanya menyuruh murid untuk memerhati keadaaan di sekeliling mereka dan mereka perlu memberi penerangan kepada setiap bentuk yang ada di sekeliling mereka kepada guru.

Balang ‘Cari dan Tangkap’

Balang “Cari dan Tangkap” saya gunakan pada Langkah 1 di mana murid akan berkumpul di meja tengah dan diketuai oleh guru. Murid dikehendaki untuk mencari dan mengasingkan bentuk – bentuk kepada sajak. Bentuk yang tidak diambil kira diasingkan dan murid perlu mencari jawapan kepada bentuk lain yang telah diasingkan selain daripada bentuk kepada sajak.

Saya juga menggunakan Alat Bantu Mengajar Kad Manila untuk menulis dua jenis puisi iaitu pantun dan sajak untuk membantu murid mencari perbezaan bentuk di antara kedua – dua jenis puisi tersebut.
Strategi pengajaran yang digunakan hari ini (terangkan bagaimana strategi telah dilaksanakan):

Strategi pengajaran yang saya gunakan pada hari ini adalah strategi pengajaran yang berpusatkan murid. Strategi ini berpusatkan kepada teori kognitif yang menggalakkan murid untuk berfikir tentang topik yang dipelajari pada hari tersebut. Dalam Rancangan Pengajaran Harian, saya menggunakan kaedah dan teknik yang berpusatkan kepada murid seperti aktiviti soal jawab, penerangan dan permainan balang “Cari dan Tangkap” serta lembaran kerja dan juga peta I-Think.


Strategi pengajaran seperti teknik soal jawab yang saya gunakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan semasa set induksi, langkah 1, langkah 2 dan pada bahagian penutup. Aktiviti soal jawab ini saya lakukan selepas saya melakukan penerangan dan juga selepas saya melakukan aktiviti  pengajaran dan pembelajaran bersama murid di dalam kelas.

Penerangan adalah aktiviti yang saya lakukan dan aktiviti ini berfokuskan kepada murid. Aktiviti yang berpusatkan kepada murid ini saya gunakan pada langkah pengajaran saya yang pertama iaitu pada bahagian set induksi dan pada  langkah 1. Strategi penerangan ini saya lakukan untuk memudahkan murid memahami topik yang dipelajari pada hari tersebut dan kaedah penerangan ini merupakan salah satu daripada kaedah yang membantu murid untuk memahami sesuatu topik pada hari itu dengan lebih jelas. Kaedah penerangan ini saya gunakan untuk menerangkan kepada murid tentang set induksi yang akan saya lakukan dan penerangan tentang permainan “Cari dan Tangkap” di mana murid saya perlu mencari bentuk yang sepadan dengan bentuk puisi yang mereka kaji pada hari tersebut.
Adakah hasil pembelajaran saya dicapai? Bagaimana saya tahu?



Hasil pembelajaran saya pada hari ini tercapai dengan sepenuhnya. Murid – murid saya berjaya mencapai hasil pembelajaran saya pada hari tersebut.

Hasil pembelajaran utama saya pada hari tersebut adalah :
5.0 Menganalisis bentuk puisi.

Hasil Pembelajaran Khusus :
5.2 Membandingkan bentuk berbagai puisi yang dikaji.

Murid – murid berjaya menganalisis bentuk puisi yang saya ajar pada hari ini iaitu Sajak Kuntum Rahsia Dari Taman Takdir. Murid berjaya membandingkan bentuk berbagai jenis puisi yang saya telah jadikan dalam satu permainan iaitu “Cari dan Tangkap” untuk melihat sejauh mana penguasaan murid terhadap bentuk puisi yang telah dikaji. Murid juga dapat menyatakan jenis bentuk puisi lain yang telah saya campurkan dalam satu balang bersama – sama dengan bentuk puisi yang dikaji pada hari tersebut. Namun, terdapat empat orang murid yang bertindak pasif gagal mengenal pasti bentuk puisi tersebut dengan baik.
Adakah murid saya melibatkan diri secara produktif /aktif? Kalau ya - bagaimana saya tahu? Kalau tidak – mengapa?

Murid saya melibatkan diri secara aktif sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas. Ketika saya melakukan semua aktiviti pada setiap langkah pengajaran dan pembelajaran, mereka aktif melibatkan diri mereka dan mereka mampu memberi jawapan dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan. Mereka juga aktif melibatkan diri mereka dengan aktiviti Balang “Cari dan Tangkap” yang memerlukan mereka untuk ke hadapan kelas dan mengelilingi saya iaitu guru untuk melaksanakan aktiviti Balang “Cari dan Tangkap”.
Sekiranya mereka tidak memahami pembelajaran aktiviti pada hari ini, mereka mengangkat tangan dan berjumpa dengan guru. Pelajar yang saya kehendaki lemah juga mengangkat tangan untuk bertanya namun masih sukar untuk dia memahami. Apabila saya melakukan aktiviti, murid akan aktif dalam memberi jawapan dan mereka kerap bertanya soalan kepada saya.
Adakah saya mengubah rancangan pengajaran saya semasa pengajaran saya? Mengapa?
Saya tidak mengubah rancangan pengajaran harian saya ketika saya melakukan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Apakah bantuan tambahan, sokongan, dan / atau sumber-sumber lain yang dapat pertingkatkan pelajaran ini lagi?

Bantuan tambahan, sokongan atau sumber – sumber lain yang dapat mempertingkatkan pelajaran ini adalah bahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) seperti bahan multimedia. Bahan TMK ini akan dapat membantu murid untuk lebih rajin mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bahan multimedia akan lebih menarik jika menggunakan bahan yang berunsurkan multimedia dan TMK kerana murid pada hari ini lebih meminati pembelajaran yang berasaskan teknologi dan multimedia.

Penggunaan TMK dan bahan multimedia akan lebih berkesan untuk melihat tahap kreativiti dan pemikiran kritis murid. Penggunaan bahan multimedia seperti Power Point, Kahoot dan Tondoo akan lebih menarik jika digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan ia bertepatan dengan kehendak pendidikan yang berpusatkan abad ke-21 iaitu PAKK-21 .
Jika saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama, apakah yang saya akan buat secara berbeza? Mengapa?
Jika saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini sekali lagi untuk kumpulan pelajar yang sama, saya akan lakukan dengan cara yang berbeza kerana pada hari ini , saya mengajar menggunakan bahan maujud tanpa sebarang penggunaan bahan TMK dan multimedia . Hal ini kerana penggunaan TMK lebih menarik jika digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran saya di dalam kelas dan murid akan lebih menumpukan perhatian mereka.

Penggunaan bahan seperti kertas sebak dan bahan maujud yang saya gunakan lebih banyak menggunakan kos dan ia sukar untuk dibawa ke dalam kelas. Jika saya menggunakan bahan TMK , ia akan lebih menjimatkan kos perbelanjaan dan ia semestinya lebih senang untuk dibawa . Tambahan pula, murid sekolah pada hari ini lebih meminati pengajaran dan pembelajaran yang bersumberkan TMK kerana aktiviti tersebut lebih menarik dan seiring dengan kemajuan pada hari ini.  Penggunaan TMK juga lebih mudah kerana pada hari ini, setiap sekolah mempunyai makmal komputer dan kemudahan internet yang membantu proses P&P menjadi lebih menarik.
Apakah teori pengajaran dan pembelajaran yang saya telah praktikan dalam kelas saya? Terangkan dengan ringkas.

Teori membantu saya untuk memahami asas masalah pembelajaran, Teori dapat memberi panduan kepada saya untuk menyelesaikan masalah murid di dalam kelas.

Antara teori pembelajaran yang saya praktik di dalam kelas saya adalah teori behaviourisme yang menumpukan kepada tingkah laku pelajar. Teori behaviourisme saya praktik ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas di mana murid berkumpul di hadapan kelas dan mengelilingi guru untuk aktiviti Balang “Cari dan Tangkap”. Mereka mendengar arahan dan mengikuti arahan yang diberi oleh saya.

Saya juga menggunakan teori kognitif yang menilai keupayaan mental murid untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula pengalaman mereka untuk membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Teori kognitif digunakan ketika murid menjawab soalan pada lembaran kerja dan mengisi peta I-Think yang diberikan kepada mereka. Ia juga dapat dilihat ketika aktiviti soal jawab antara saya dengan murid ketika di dalam kelas.




No comments:

Post a Comment